Dalam hidup kita, kita selalu berfikir. Berfikir apa yang
akan jadi pada kita pada masa akan datang. Dan apa yang kita mahukan dalam
hidup ini. Kita pun mula merancang jalan hidup kita seharian. Semuanya untuk
mencapai apa yang kita fikirkan itu.
Kita tahu dan yakin bahawa setiap perkara yang berlaku di
dunia ini tidak terkecuali satu pun adalah kehendak Allah SWT. Tapi kita sering
leka. Leka dengan perancangan hidup yang kita sendiri aturkan. Dan apabila
semuanya tidak menjadi seperti apa yang kita harapkan, kita mula menyalahkan
diri sendiri dan orang lain lalu putus asa. Putus asa adalah satu virus yang
sangat merbahaya. Ianya seolah-olah kita bersangka buruk terhadap Allah.
Kita sering terlupa bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Maha
Pemurah akan hambaNya. Tidak lupa juga Allah adalah Yang Maha Bijaksana.
Bijaksana dalam merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Segala benda
di dunia ini hanya Allah yang ada masterplan ataupun blueprintnya. Allah
menyediakan perancangan yang terbaik bagi semua hambaNya. Sungguh cantik.
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Al-Baqarah, 2:216
Jika kita lihat, Allah tidak pernah tidak memberikan nikmat
kepada kita, hamba-hambaNya. Tak pernah sesaat pun dalam hidup kita. Nikmat pancaindera, nikmat adanya keluarga, nikmat bernafas,
nikmat dapat memijak bumi, nikmat bercakap, nikmat bergerak dan banyak lagi.
Rahmat Allah itu sangat luas. Manusia sahaja yang tak nampak itu.
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Ada
satu video yang mengisahkan tentang seorang budak kecil yang Allah telah tarik
nikmat penglihatannya. Apa yang budak itu kata, “Aku tak mahu penglihatan aku
semula kerana ini boleh jadi alasan untuk aku di hadapan Allah kelak di
akhirat.” Kita yang masih ada nikmat penglihatan ini sepatutnya bersyukur.
Nikmat yang sebeginilah yang kita sering lupa atau tidak nampak.
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Ar-Rahman, 55:13
Jadi, dalam kita merancang apa sahaja dalam hidup ini,
ketahuilah bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Kita
merancang, Allah yang menentukan. Kita merancang bukan untuk mendapatkan apa
yang kita mahukan, tapi yang terbaik buat kita. Allah menilai usaha kita. Tidak
adillah Allah jika Dia menilai hasil kerja kita kerana hakikatnya Dialah Yang
Maha Menentukan dan semuanya atas kehendakNya.
Sepertimana dalam kisah seekor burung kecil yang cuba untuk
memadam api yang membakar tubuh Nabi Ibrahim menggunakan paruhnya. Walaupun api
tersebut tidak terpadam, namun usahanya yang sekecil itu pun Allah akan hitung.
Allah berfirman,
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya!
Al-Zalzalah, 99:7
Dalam kita merancang bermacam-macam kerja dakwah dan
tarbiyyah. Kita sibuk dengan segala perancangan sehingga kita lupa akan asas
sesuatu kejayaan dakwah itu sendiri. Yakni kita berserah kepada Allah.
Tawakkal. Kerana hakikatnya, keberhasilan dakwah kita itu semuanya kehendak
Allah. Allah lah yang mahu mad’u kita mendapat hidayah. Allah yang menghendaki
adik-adik yang kita santuni untuk turut sama bergerak dengan kita. Sama ada
lambat atau cepat. Mungkin lambatnya mereka bergerak lebih baik untuk dakwah
dan tarbiyah bila mana mereka pada masa itu sangat faham dan sangat mengimani
perjuangan yang mereka hendak tempuhi dengan iman yang benar. Yakni murni hanya
kerana Allah. Yang penting kita harus yakin bahawa jika kita menolong agama
Allah, Allah pasti akan menolong kita dalam
jalan dakwah ini dan juga segala perkara yang kita lakukan di dunia ini
sama ada ukhrawi mahupun duniawi.
Teringat kisah Rasulullah SAW di saat mana baginda berdoa
kepada Allah supaya mengislamkan salah seorang dari dua orang Umar, yakni Umar
Al-Khattab dan Abu Jahal. Allah memilih untuk memberi hidayah kepada Umar
Al-Khattab. Dan lihatlah betapa besarnya impak ketentuan Allah terhadap dakwah
Islam pada zaman pemerintahan beliau. Allahu Allah.
Matlamat dakwah kita ialah Ustaziyatul Alam iaitu suatu masa
di mana Islam itu menjadi yang paling tinggi di dunia. World order. Namun,
dalam meniti laluan menujunya memanglah sukar dan panjang. Matlamat yang boleh
dikatakan hardcore. Jadi, mahu tidak mahu, usaha kita kenalah hardcore.
Hubungan kita dengan Allah lah menjadi penentu kejayaan dakwah kita. Kerana
hanya Allah yang tahu dan mampu memberikan apa yang terbaik buat jalan dakwah,
untuk kita, dan untuk semua.
No comments:
Post a Comment